KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan mempertimbangkan keperluan untuk meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan udara membentuk formasi penerbangan lintas hormat bagi mengelak tragedi nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Selasa lepas yang mengorbankan 10 nyawa, berulang.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia bergantung kepada hasil laporan siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Siasatan yang ditubuhkan.

"Kita ambil pengajaran daripada insiden ini dan kita akan tunggu laporan siasatan. Daripada situ kita akan lakukan perkara yang sewajarnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, di sini hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] 10 wira negara korban helikopter terhempas selamat bersemadi

Dalam kejadian Selasa lepas 10 pegawai dan anggota tentera TLDM terkorban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 9.32 pagi.

ATM dan TLDM dilaporkan akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM Ke-90 itu.

-- BERNAMA